Kata Sendi Nama “dari”



Kata sendi nama dari hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan arah atau tempat, dan waktu atau masa. Oleh itu, sendi nama ini digunakan untuk menyatakan hubungan tempat datang dan hubungan masa. Menurut Za’ba sendi nama dari menunjukkan tempat datang, tempat mulai bergerak atau tempat yang ditinggalkan (DBP, 1989: 6).


(a) menunjukkan tempat atau arah

Contoh:


1. Angin kencang yang bertiup dari arah tenggara mungkin akan membahayakan bot-bot kecil.

2. Puan berasal dari mana?

3. Mereka baru sahaja balik dari perpustakaan.

4. Azmi mengukur jarak dari sudut A ke sudut B.

5. Pasir itu dikuak dari pengkalan sungai.


Sendi nama dari juga untuk menunjukkan semacam lingkungan mujarad, melalui kiasan, dengan penggunaan maksud tempat. Dalam penggunaan ini, maksud tempat itu dikaitkan dengan lingkungan mujarad tertentu bagi perkara yang menunjukkan tempat. (DBP, 1989: 6).


Contoh:

  • Pihak pengkaji akan membuat kajian tersebut dari sudut ekonomi. 
  • Kami akan membincangkan tajuk itu dari segi moral. 
  • Ahli majlis itu dilantik dari segi ketokohan mereka dalam bidang masing-masing. 
  • Syarat pinjaman itu hanya berbeza dari segi kadar faedah dan tempoh bayaran balik. 

(b) menunjukkan waktu atau masa

Contoh:

1. Pihak pengurusan akan memantau kes ini dari semasa ke semasa.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa Khemah Bahasa akan diadakan dari 26 hingga 29 Mac 2012 di Taman Negara Lambir, Miri.

3. Mesyuarat itu akan diadakan dari pukul sembilan pagi hingga ke pukul empat petang.

4. Kerajaan itu terkenal sejak dari kurun ke-18.

5. Dari kurun Masihi ke-16, Tanah Melayu telah dikunjungi oleh bangsa Eropah.