Kata Sendi Nama "pada"



Kata sendi nama pada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama dalam situasi yang berikut:


(a) menunjukkan keterangan waktu (apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa)

Contoh:

1. Pihak kami berharap hal ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

2. Borang itu dihantar kepada pihak tuan pada 22 Mac 2012.


(b) menunjukkan hubungan tempat bagi perbuatan kata kerja

Contoh:

1. Iklan syarikat itu terpampang pada setiap bas Sri Jaya.

2. Bajunya tersangkut pada cangkuk besi lalu koyak.

3. Sindiran orang tua itu dirasai terkena tepat pada batang hidungnya.


(c) apabila hadir di hadapan kata “ada” atau “tiada”, mesti diikuti kata nama yang merujuk manusia atau haiwan.

Contoh:

1. Semua ketua jabatan disarankan memanfaatkan kuasa yang ada pada mereka untuk kepentingan organisasi masing-masing.

2. Keupayaan untuk berfikir tiada pada binatang.