Kata Sendi Nama “ke” dan Imbuhan “ke



Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk tempat dan masa. Oleh itu “ke” juga digunakan untuk menyatakan hubungan tempat atau arah tuju dan hubungan masa. Terdapat dua cara penulisan ke dalam bahasa Melayu.


(a) Apabila berfungsi sebagai kata sendi nama yang menyatakan hubungan tempat atau arah, maka “ke” dieja terpisah daripada kata nama (tempat) yang mengikutinya.

Contoh:

1. Beliau telah berkhidmat di sini dari muda hingga ke tua.

2. Konvoi Kembara Bahasa telah singgah ke lima tempat sebelum sampai ke Sibu.

3. Papan tanda tersebut dialih ke tengah ruang pejabat agar mudah dilihat oleh pelawat.

4. Semua pekerja menjenguk ke luar setelah mendengar bunyi jeritan yang dahsyat.

5. Mesyuarat berlanjutan sampai ke pukul tiga petang.

6. Bahagian Penguat Kuasa akan mengadakan pemeriksaan kebersihan gerai dari masa ke masa.


(b) Apabila “ke” berfungsi sebagai imbuhan, maka “ke” ditulis serangkai dengan kata yang mengikutinya untuk membentuk kata nama, kata bilangan dan kata kerja.

Contoh:

1. Ketua unit di setiap jabatan memainkan peranan penting memastikan staf di unit mereka menjalankan tugas dengan cekap dan dedikasi.

2. Minit Mesyuarat Kelima Pusat Pengajian Bahasa disahkan tanpa sebarang pindaan.

3. “Ketengahkan pendapat anda agar kita dapat mencari jalan penyelesaian terhadap kes ini”, kata Ketua Polis Negara apabila diminta mengulas tentang kes samseng di sekolah.

4. Encik Hashim telah keluar pejabat sejak pukul 10.00 pagi tadi.