Kata Sendi Nama "kepada"



Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad (abstrak), menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. 


Contoh: 


1. Tuan/puan diminta merujuk hal ini kepada pihak atasan. (manusia) 

2. Sila serahkan nama kakitangan yang berminat menyertai pertandingan ini kepada Puan Zarina selewat-lewatnya pada 3 Mac 2012. (manusia) 

3. Pekerja zoo memberi makanan kepada binatang di zoo tersebut tiga kali sehari. (haiwan) 

4. Makanan yang berlebihan itu diberikannya kepada kucing kesayangannya. (haiwan) 

5. Pastikanlah anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah. (mujarad) 

6. Perkahwinannya mampu bertahan kerana bersandar kepada kesetiaan. (mujarad) 

7. Peserta Khemah Bahasa telah dibahagikan kepada enam kumpulan. (pecahan) 

8. Mulai tahun ini, Jabatan Pendaftaran Negara dibahagikan kepada lima bahagian. (pecahan) 

9. Suhu badannya meningkat kepada 39°C. (perubahan keadaan) 

10. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. (perubahan keadaan) 



Namun demikian, kata sendi nama “kepada” boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia. 

Contoh: 

1. Ibu bapa telah menghantar surat bantahan kepada sekolah tersebut. 

2. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghadiahkan buku bacaan kepada beberapa buah perpustakaan  sekolah. 

3. Surat itu hendaklah dihantar kepada Kementerian Pendidikan dengan segera.